Saturday, 26 March 2016

Penantian Ainul Mardhiah

Bismillah.
Assalamualaikum w.b.t
Tengah bosan. Rasa macam nak isi masa dengan tulis kisah Penantian Ainul Mardhiah. Jom la..

Ainul Mardhiah yang bererti mata yang diredhai adalah bidadari yang sangat rupawan di kalangan bidadari-bidadari yang lain. Dia telah diciptakan oleh Allah SWT untuk seorang pemuda yang mati syahid.

    Suatu pagi dalam bulan Ramadhan, Rasulullah SAW telah memberi targhib (ucapan-ucapan sebagai penyuntik semangat untuk sahabat-sahabat berjihad pada agama Allah). Rasulullah SAW telah berkata bahawa sesiapa saja yang keluar untuk berjihad di jalan Allah dan tiba-tiba dia syahid, maka dia akan dikurniakan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari syurga iaitu Ainul Mardhiah.

     Apabila mendengar ucapan Rasulullah SAW itu, seorang pemuda yang masih muda belia ingin mengetahui bagaimana cantiknya bidadari yang telah Rasulullah SAW sebutkan itu. Oleh kerana pemuda itu merasa malu kepada sahabat-sahabatnya yang lain, dia agak keberatan untuk bertanyakan hal ini kepada Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun dia tetap akan keluar berjihad bersama-sama Rasulullah SAW.

     Telah menjadi sunnah Rasulullah SAW untuk tidur sebentar sebelum tiba waktu Zohor. Maka pemuda itu pun tidur bersama-sama jemaah tadi. Di dalam tidurnya, pemuda itu telah bermimpi bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian bersih lagi cantik dengan muka yang berseri-seri, di suatu tempat yang sungguh indah. Pemuda itu pun bertanya, "Di manakah aku sekarang ini?" Lalu lelaki itu menjawab, "Inilah syurga." Kemudian pemuda itu menyatakan hasratnya untuk berjumpa dengan Ainul Mardhiah. Lelaki itu pun menunjukkan ke suatu arah. Maka berjalanlah pemuda itu mengikut arah yang ditunjukkan lalu bertemu dengan sebatang pohon dan seorang wanita yang amat cantik. Pemuda itu tidak pernah melihat kecantikan seorang wanita seperti itu di dunia. Dia pun memberi salam lalu bertanya, "Adakah kamu ini Ainul Mardhiah?" Wanita itu pun menjawab, "Bukan. Saya adalah khadamnya. Ainul Mardhiah ada di dalam singgahsana." Pemuda itu pun berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan bertemu dengan seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari wanita yang pertama tadi. Wanita itu sedang mengelap permata-permata hiasan di dalam mahligai itu. Lalu pemuda itu memberi salam dan bertanya lagi, "Adakah kamu ini Ainul Mardhiah?" Lalu wanita itu pun menjawab, "Bukan. Saya adalah khadamnya. Ainul Mardhiah ada di atas mahligai sana." Lalu pemuda itu pun menaiki anak-anak tangga mahligai permata itu, kemudian sampai ke satu mahligai.

     Di situ dia melihat seorang wanita yang berganda-ganda cantiknya dari wanita pertama dan wanita kedua tadi. Wanita itu pun berkata kepada pemuda itu, "Akulah Ainul Mardhiah. Aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk aku." Pemuda itu cuba mendekati Ainul Mardhiah, namun Ainul Mardhiah berkata kepada pemuda itu, "Kamu tidak boleh mendekati diriku kerana kamu masih belum syahid lagi." Pemuda itu tersentak dan terjaga dari tidurnya. Dia lalu menceritakan segala yang dimimpikan itu kepada sahabatnya. Namun begitu dia memesan agar jangan menceritakan mimpinya itu kepada Rasulullah SAW.

    Di sebelah petangnya, pemuda itu telah keluar untuk berjihad bersama-sama dengan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat yang lain. Takdir telah menentukan pemuda tadi gugur syahid. Ketika semua jemaah pulang ke masjid untuk menantikan waktu berbuka puasa, sahabat pemuda yang gugur syahid itu pun bangun dan merapati Rasulullah SAW. Dia telah menceritakan kepada Rasulullah SAW perihal sahabatnya yang gugur syahid itu. Ketika sahabat itu sedang bercerita, Rasulullah SAW hanya menjawab, "Benar."

    Kemudian setelah sahabat itu selesai, Rasulullah SAW pun berkata kepadanya, "Memang benar apa yang kamu ceritakan tadi. Sahabatmu itu sedang menunggu untuk berbuka puasa di dalam syurga."

Alhamdulillah, siap !

No comments:

Post a Comment